Monday, May 24, 2010

BUDAYA PEMBELAJARAN

1.0 PENGENALAN

Pendidikan di Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama di mana bina upaya adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambah, nilai intelek serta diperbanyakkan modal budayanya.........................................................

Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah...............................................................................

Pada abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di peringkat global. ............................

Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:

”... as the most significant and costly resource in schools, teachers
are central to school improvement efforts. Improving the efficiency
and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that
competent people want to work as teachers, that their teaching is of
high quality, and that all students have access to high quality teaching.”

( Organization for Economic Co-operation and Development; petikan
daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )
2.0 IKLIM DAN BUDAYA SEKOLAH

Iklim dan budaya sekolah merupakan elemen penting dalam pembinaan persekitaran bilik darjah yang kondusif. Ia menjadi penanda awal dalam proses pembentukan para pelajar bagi mencapai kualiti pendidikan secara menyeluruh seterusnya dapat melahirkan modal insan sebagai produk negara yang produktif. Sehubungan dengan hasrat dan aspirasi pendidikan di atas, maka guru dan sekolah sebagai jentera pembina dan pemangkin akan menjadi penentu awal hala tuju para pelajarnya yang terdiri daripada pelbagai etnik, ragam, sosiobudaya dan latar belakang. Seorang guru yang berinovatif dan kreatif perlu membina dan mendidik para pelajar dengan pelbagai elemen kemahiran, pengetahuan, pemikiran dan nilai yang selari dengan kandungan Falsafah Pendidikan Negara.

Semua agenda di atas bermula di bilik darjah yang mempunyai iklim dan budaya sekolah yang positif dibantu dengan pembinaan persekitaran bilik darjah yang kondusif. Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Halpin & Croft ( 1963 ), menyatakan iklim dan budaya sekolah menggambarkan personaliti seseorang guru itu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Howard ( 1974 ), mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum ( 1981 ), mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar.

Abdul Rahman an-Nahlawi ( 1995 ), pula menyatakan iklim sekolah yang berkesan mampu mewujudkan integrasi dan keharmonian sesama pelajarnya yang berbeza status sosio-ekonomi mereka. Selain itu, sekolah juga mampu mengurangkan perbezaan-perbezaan sesama mereka. Hubungan yang mesra di antara sekolah dan keluarga akan membentuk pendidikan yang lebih sempurna bagi pelajar-pelajarnya.

Ting Len Siong & Dr. Hj. Muhamad Sidek Said ( 2007 ), iklim sekolah juga dapat dikenali sebagai budaya sekolah yang mengandungi empat komponen utama dalam mencirikannya sebagai budaya sekolah iaitu aspek fizikal, sosial, perkembangan intelek dan penggunaan bahasa.

Berdasarkan kajian beberapa tokoh di atas mengenai pembentukan iklim dan budaya sekolah yang positif, maka saya dapat simpulkan beberapa ciri iklim dan budaya sekolah yang dinamik yang menjuruskan kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan. Antaranya :
1. Guru-guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan
2. Guru-guru tidak rasa tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan pelajar-pelajarnya.
3. Guru Besar merasa penuh yakin terhadap kerjanya serta bertimbang rasa.
4. Pelajar merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh.

2.1 HUBUNGAN IKLIM DAN BUDAYA

Apakah hubungan iklim dan budaya seperti yang diterangkan di atas? Iklim dalam konteks pendidikan membawa maksud suatu suasana persekitaran yang tenang, nyaman, selesa, dan menarik untuk dimanfaatkan oleh para pelajar, guru, malah seluruh warga sekolah. Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi menggambarkan iklim pembelajaran seperti yang dimaksudkan termasuklah pembinaan taman-taman sains, rekreasi, kolam yang lengkap isinya, sudut-sudut pembelajaran, hiasan mural pada bangunan, keceriaan, menetapkan peraturan-peraturan untuk seluruh warga sekolah, dan sebagainya yang boleh membawa kepada suasana positif ke arah budaya pembelajaran yang kondusif.

Budaya pula sebagaimana pendapat beberapa tokoh di atas merupakan suatu amalan berterusan para pelajar dengan mengekploitasikan iklim pembelajaran yang diwujudkan. Antara budaya pembelajaran diterapkan ialah pembentukan hubungan mesra antara guru dengan murid, murid dengan murid, murid dengan pekerja, amalkan budaya salam dan pengucapan bertatasusila, program ‘buku ditangan’, meneroka maklumat di persekitaran sekolah, menggunakan tempat-tempat khas yang disediakan untuk belajar, kuatkuasakan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan supaya murid terdidik dengan disiplin dan sebarang program yang boleh membentuk budaya positif pelajar.

“Kerajaan harus meletakkan budaya pembelajaran, analitikal dan intelektual sebagai keutamaan dalam agenda negara jika mahu membangunkan modal insan, kita perlu kurangkan pendekatan yang hanya memberi penekanan kepada aspek membaca, menulis dan peperiksaan kerana budaya pembelajaran sebenar lebih luas. ''Rakyat negara ini perlu digalak 'memburu' maklumat daripada sekadar menerimanya secara pasif sahaja,"

( Raja Dr. Nazrin Shah, Utusan Malaysia, 5 Mei 2009 )

Pembinaan persekitararan sekolah yang mempunyai iklim dan budaya yang positif dan efektif sahaja belum cukup sempurna untuk melahirkan para pelajar berkemahiran seperti yang dinyatakan pada awal tadi. Semua sudah maklum bahawa proses pengajaran dan pembelajaran formal bermula di bilik darjah. Oleh itu, pembentukkan persekitaran bilik darjah yang kondusif amat penting kerana di sinilah para pelajar mula mengenali dunia persekitaran mereka secara langsung. Sebagai guru, lebih-lebih lagi guru kelas yang bertanggungjawab penuh dalam usaha mewujudkan sebuah bilik darjah yang kondusif.


3.0 PENGURUSAN BILIK DARJAH YANG KONDUSIF

Sistem sosial merupakan sesuatu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam masyarakat. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam bilik darjah bergantung kepada interaksi dan aktiviti di antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Sehubungan ini, bilik darjah merupakan satu sistem sosial yang mana interaksi berlaku melalui aktiviti-aktiviti yang dirancangkan dan berlandaskan sesuatu strategi pengajaran dan pembelajaran. Memandangkan bilik darjah merupakan tempat penting dalam melahirkan para pelajar yang produktif dalam semua aspek, maka menjadi tugas guru mentadbir urus bilik darjah supaya ia benar-benar kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.
Lemlech ( 1979 ), mendefinisikan pengurusan bilik darjah sebagai koordinasi dalam bilik darjah yang mana menurutnya guru sebagai perancang kurikulum, pengorganisasi prosedur dan sumber, penyusun persekitaran kelas yang efisyen, penyelia prestasi murid serta pengenalpasti masalah potensi murid. Anderson ( 1989 ), mengatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah terdiri daripada tingkah laku yang menghasilkan penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti pembelajaran, meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu tugas guru dan pelajar lain dan penggunaan masa pembelajaran yang efisyen. Levin & Nolan ( 2004 ), pula memberi tumpuan aspek keberkesanan dalam pengurusan bilik darjah itu sendiri. Mereka berpendapat bahawa kedua-dua aspek arahan dan pengurusan merupakan proses yang mempunyai tujuan di mana tindakan serta sikap guru itu bertindak untuk memudahkan objektif yang ingin dicapai oleh guru itu sendiri dalam pengajaran dan pembelajaran. Parker J. Palmer ( 1998 ), mendapati bahawa suasana bilik darjah turut mempengaruhi perlakuan pelajar. Mereka berasa bosan, rimas dan tidak selesa untuk belajar dengan tekun. Mereka lebih seronok jika dibawa ke bilik sumber yang berhawa dingin atau ke perpustakaan.

Rumusan yang dapat dibuat hasil kajian daripada beberapa tokoh di atas menjelaskan betapa pentingnya pengurusan bilik darjah yang benar-benar bersifat kondusif. Guru bukan hanya memenuhi jadual waktu mengajar semata-mata, malah bertanggungjawab dalam memastikan pembentukan modal insan yang benar-benar mencapai tahap penguasaan kemahiran sesuai dengan aspirasi diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bermula dengan pembentukan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. Secara ringkasnya konsep pengurusan bilik darjah bermakna tindakan dan strategi guru untuk mengekalkan peraturan bilik darjah yang kondusif, menghadapi tingkah laku murid serta menarik perhatian murid bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran yang afektif. Oleh itu guru perlu bertindak ke arah membentuk dan membina bilik darjah yang benar-benar bersifat kondusif yang meliputi aspek-aspek perancangan keceriaan kelas, kebersihan kelas, penerapan unsur motivasi dan pengurusan sumber pengajaran dan pembelajaran.

3.1 Ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif

Iklim bilik darjah yang dikatakan baik mengandungi empat ciri utama seperti berikut;
• Hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya.
• Kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah.
• Perasaan kekitaan yang timbul di antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia.
• Kewujudan satu keadaan yang setiap pelajar melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan, termasuk usaha menggunakan bahasa dengan betul dan sesuai.
Iklim bilik darjah yang baik adalah iklim bilik darjah yang terbuka dan akan menggalakkan pelajar bebas berinteraksi di antara pelajar dengan pelajar; pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dalam bilik darjah. Guru pula gembira bekerja dalam keadaan yang mesra dan sempurna. Iklim bilik darjah yang terbuka seperti ini merupakan iklim bilik darjah yang kondusif, dan iklim positif ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya, seperti membentuk pelajar dengan sikap dedikasi, berinisiatif, rela bekerjasama, ramah dan mesra, spontan dan kreatif serta lebih tinggi motivasinya.
Ringkasnya, iklim bilik darjah yang dikatakan kondusif adalah sebuah bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, yang elok dipandang dan yang teratur susunannya. Keadaan ini akan memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan, dan bahagia kepada pelajar-pelajar yang menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim bilik darjah yang kondusif ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
4.0 USAHA-USAHA MENJADIKAN BILIK DARJAH BERSIFAT KONDUSIF

Pelbagai usaha telah saya ambil bagi merealisasikan bilik darjah saya ke arah bersifat kondusif. Usaha-usaha ini telah sedikit sebanyak dikongsi bersama rakan-rakan guru di sekolah saya. Antara usaha-usaha itu ialah susun atur bilik darjah, membina interaksi dan komunikasi berkesan, motivasi dan penerapan nilai murni, menetapkan disiplin bilik darjah, dan membentuk pengajaran bestari.

4.1 Susun Atur Bilik Darjah

Faktor fizikal merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang terdapat di sekolah. Bilik darjah yang kondusif mestilah mempunyai peralatan asas iaitu papan hitam, papan kenyataaan, dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk guru dan murid, almari, yang di hiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan, dan bahan bantuan mengajar serta peralatan sokongan serta dihiasi dengan keceriaan dan kebersihan.

Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Murid mudah berintraksi sesama mereka dan mudah berintraksi dengan guru. Penyusunan kerusi dan meja perlu mengikut kumpulan murid. Ia bertujuan menudahkan interaksi antara murid dengan murid, murid dengan guru, dan murid dengan bahan pembelajaran. Contoh penyusunan sebagaimana beikut :

4.1.1 Meja murid dipastikan tidak diletakkkan di hadapan pintu masuk atau keluar serta tingkap manakala meja guru ditempatkan di hadapan kelas di mana mempunyai hubungan visual dengan semua murid.
4.1.2 Mengambilkira saiz bilik darjah dalam proses susun atur agar memberi cukup ruang supaya murid selesa bergerak dan menjalankan aktiviti semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
4.1.3 Ruang dinding akan digunakan sebagai ruang melekatkan ataum menampal hasil kerja murid, bahan pengajaran, bahan hiasan dan sebagainya.
4.1.4 Ruang siling boleh diaplikasikan sebagai tempat menggantung mobile, hiasan, dan hasil kerja murid yang bersesuaian termasuk bahan pengajaran.
4.1.5 Penyediaan lokasi khas untuk menempatkan bahan-bahan rujukan seperti kamus, malajah, akhbar, peta, dan bahan manipulatif termasuk juga tugasan murid yang disalin dalam bentuk CD disimpan untuk tujuan kegunaan pada masa hadapan.
4.1.6 Portfolio murid boleh disimpan dalam almari yang mudah diakses.
4.1.7 Menyediakan tempat khas bagi bekas makanan dan minuman di bahagian belakang bilik darjah.
4.1.8 Memberi perhatian dan mewujudkan satu sudut untuk meletakkan jam dinding, kalendar, tisu, dan peti pertolongan cemas.
4.1.9 Memastikan alatan seperti komputer, OHP, LCD, TV, rakaman audio dan video sentiasa berfungsi dan berkeadaan baik.
4.1.10 Tingkap dan pintu yang sempurna membolehkan udara dan cahaya yang mencukupi memasuki bilik darjah. Ini akan membangkitkan semangat belajar dan memberi keselesaan kepada murid.

Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk kemudahan penggunaan laman web, komputer dan CD dan LCD sehingga melahirkan pembudayaan bilik darjah yang kondusif. Hasilnya terjelma suasana yang harmonis, ceria, dan semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa seolah-olah berada dalam sebuah rumah sendiri, wujudnya perasaan saling berkerjasama dan kekitaan dan semangat berdikari, iaitu bersama berusaha memajukan diri dan kumpulan secara kolektif. ( Haji Samsudin bin Md Noor, tiada tahun )
Pada asasnya, saya berpendapat bahawa proses mewujudkan sebuah bilik darjah yang kondusif perlu mendapat kerjasama semua pihak, yakni pentadbir guru-guru lain dan murid-murid dalam kelas itu sendiri. Ini kerana tidak semua yang dinyatakan dapat diterjemahkan sepenuhnya. Terdapat pelbagai kekangan seperti sumber kewangan, masa dan tenaga, idea, kemudahan fizikal bangunan dan peralatan. Lihat saja sekolah-sekolah yang berada di pedalaman yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek. Walaubagaimanapun kita sebagai guru perlu menggunakan segala kepakaran yang ada dengan cara berhemah. Jika guru terus menerus dengan segala macam alasan, maka hasrat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif akan terbantut dan gagal. Siapakah yang akan rugi? Siapakah anda yang diberi nama ‘guru’ itu? Saya tingalkan persoalan itu dengan pendapat Daoed Yoesoef ( 1980 ), menyatakan bahwa seorang guru mempunyai tiga tugas pokok iaitu tugas profesional, tugas manusiawi, dan tugas kemasyarakatan (sivic mission). Sama-sama kita renungkan.

4.2 Membina Interaksi Dan Komunikasi Berkesan

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan, interaksi dan komunikasi antara guru dengan murid dan murid dengan murid memainkan peranan penting. Apa pentingnya interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran? Interaksi melibatkan guru dan murid dan sangat berkaitan dengan kaedah guru menyampaikan isi kandungannya (Gilbert dan Moore, 1998). Menurut Jones ( 1995 ), pencapaian akademik dan tingkah laku murid dipengaruhi oleh kualiti hubungan guru dengan murid. Lebih banyak berlaku komunikasi dan interaksi antara guru dengan murid, maka lebih banyak guru dapat membantu dan memahami murid. Hal ini seterusnya akan meningkatkan prestasi pembelajaran murid.

Pembinaan interaksi dan komunikasi dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif akan memberikan implikasi positif kepada kedua-dua belah pihak. Bagi pihak guru, dapat melicinkan perjalanan pengajaran dan pembelajaran, guru menjadi semakin bermotivasi, murid lebih senang dikawal, kerjasama antara guru dengan murid dapat melancarkan perjalanan aktiviti dan dalam masa yang sama dapat menaikan imef guru. Manakala di pihak murid pula, mereka akan lebih berminat untuk belajar, berani berdamping dan berhubung dengan guru, meningkatkan motivasi murid, dan prestasi akademik akan meningkat.
Saya berpendapat proses pembinaan interaksi dan komunikasi yang berkesan ini mempunyai perkaitan dengan gaya kepimpinan seseorang guru. Terdapat beberapa gaya atau kaedah kepimpinan seseorang guru iaitu :

a. Kepimpinan Aautokratik iaitu mewujudkan suasana tertekan, tidak menarik, dan tidak kondusif.
b. Kepimpinan Demokratik iaitu berkongsi tanggungjawab dengan murid dengan memberikan galakan bukannya dengan desakan bagi menghasilkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan.
c. Kepimpinan Laissez-Faire iaitu kebebasan sepenuhnya dalam apa jua aktiviti pembelajaran sehingga menjadikan bilik darjah tidak terurus, kucar kucir, dan perhubungan antara guru dan murid menjadi tidak akrab dan mesra. Selain itu guru juga perlu peka dengan tugasan yang di berikan kepada murid berorientasikan kepada peningkatan interaksi dan pertumbuhan kognitif di kalangan murid-murid ( Dr Ragbir Kaur, 2008 ).
……………………………………………………………………
Sebagai rumusannya dapat disimpulkan bahawa pembinaan hubungan yang mesra antara guru dengan murid, murid dengan murid akan menghasilkan suasana pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam suasana yang harmoni tanpa tekanan malah objektif pengajaran dapat dicapai dengan mudah. Ini berkait rapat dengan gaya kepimpinan seseorang guru itu. Anda sendiri dapat menentukan apakah gaya kepimpinan yang ada pada diri anda. Tidak sukar untuk kita sebagai guru mengaplikasi proses interaksi dan komunikasi ini kerana kita telah dibekalkan ilmu sedemikian sewaktu berada di pusat pengajian. Sama-sama kita hayati pendapat Good & Brophy (2002), yang mengatakan bahawa guru yang dihormati dan mesra pelajar dapat bekerjasama dengan murid-muridnya dalam menjayakan aktiviti di dalam bilik darjah.





4.3 Motivasi Dan Penerapan Nilai-Nilai Murni

Penerapan nilai-nilai murni di kalangan murid-murid dalam bilik darjah sangat penting. Ia perlu dilaksanakan dan diamalkan sepanjang masa. Perkara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan komuniti bilik darjah terdiri daripada berbagai etnik, sosiobudaya, tingkah laku, emosi, dan gaya pembelajaran. Perbezaan-perbezaan ini menjadi lebih ketara jika terdapat murid-murid berkeperluan khas dalam bilik darjah kita. Menurut Kirk & Kirk ( 1994 ), murid berkeperluan khas berbeza dari murid biasa dari segi mental ( kognitif ), fizikal ( keupayaan otot-otot dan sendi ), sosial ( interaksi dan komunikasi interpersonal ) dan emosi ( keupayaan menangani perasaan ).

Menurut Woolfolk ( 1990 ), motovasi atau kuasa dalaman akan membangkit, mengarah dan mengawal tingkah laku murid. Tugas guru bukan hanya menyampaikan isi pengajaran semata-mata. Banyak elemen lain yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah memberi motivasi dan penerapan nilai-nilai murni di kalangan murid-murid. Guru boleh memberi pujian kepada murid-murid yang melakukan sebarang perkara positif walaupun kecil, dalam masa yang sama elakkan guru menggunakan kata-kata negatif terhadap murid kerana ia boleh membunuh semangat dan keinginan untuk belajar.

Guru perlu menggalakkan murid bekerjasama dan saling hormat-menghormati sesama mereka walaupun murid mungkin terdiri dari pelbagai etnik. Murid perlu saling tolong-menolong, kasih sayang di mana murid pandai membantu murid yang kurang pandai dan sama-sama belajar dalam suasana tenang dan gembira. Hal ini akan mewujudkan suatu suasana bilik darjah yang kondusif dan membangkitkan semangat untuk belajar seterusnya murid tidak akan merasai dan sedar akan perbezaan yang wujud pada awal tadi.





4.4 Menetapkan Disiplin Bilik Darjah.

Menyedari hakikat bahawa sesebuah bilik darjah perlu mempunyai disiplinnya tersendiri, maka saya sebagai guru darjah mengambil inisiatif menggubal suatu disiplin bilik darjah yang afektif. Ini sekaligus dapat membantu sesebuah bilik darjah yang kondusif kekal berada dalam suasana yang menyenangkan. Brophy ( 1996 ), menegaskan guru-guru yang menjalankan aspek-aspek pengurusan bilik darjah dengan berkesan akan mengenalpasti dan mengelak konflik-konflik dan akan memastikan atau mengelak pertembungan atau gangguan dengan signifikan. Namun murid akan tetap membawa masalah ke kelas, dan guru-guru yang berkesan pengurusannya sekalipun akan menghadapi atau berdepan dengan sikap yang tidak menyenangkan yang memerlukan perhatian.

Oleh itu saya telah merangka suatu strategi disiplin bilik darjah bagi menangani masalah sedemikian dan ia telah diputuskan bersama murid bahawa apa yang diperincikan dalam penggubalan disiplin bilik darjah ini mesti dipatuhi. Antara peraturan-peraturan yang ditetapkan ialah :

4.4.1 Melantik ketua bagi setiap unit, bahagian atau sudut yang diwujudkan dalam bilik darjah. Contoh, sudut bacaan, sudut peralatan pembelajaran, keceriaan kelas, unit perabut, unit kebersihan, unit kawalan kelas, dan lain-lain. Setiap ketua bertanggungjawab memastikan unit, bahagian atau sudut masing-masing berada dalam keadaan baik dan terkawal. Ketua-ketua ini pula akan sentiasa bertukar agar semua murid berasa bertanggungjawab terhadap kelas mereka.

4.4.2 Mengamalkan budaya pengucapan bertatasusila samada dengan guru atau sesama mereka. Penggunaan kata-kata bertatasusila ini ketika guru masuk atau keluar kelas, murid hendak keluar kelas atas sebab tertentu atau ketika minta pertolongan. Contoh, ‘selamat pagi’, ‘Assalamualaikum’, ‘sila masuk’, ‘maafkan saya’, dan sebagainya.
4.4.3 Mewujudkan slogan, cogan kata, dan kata-kata hikmat yang boleh mendorong murid mendisiplinkan diri. Contoh, ‘JANGAN BISING’, ‘MARI MEMBACA’, ‘HORMATI RAKAN ANDA’, dan sebagainya. Kata-kata ini boleh ditampal atau gantung di tempat-tempat yang difikirkan sesuai.

4.4.4 Menentukan kaedah tertentu bagi murid yang ingin keluar dari kelas semasa waktu pembelajaran seperti menggunakan pas atau kad khas yang akan dibawa sepanjang berada di luar bilik darjah.

4.4.5 Membina jadual bertugas untuk memastikan bilik darjah sentiasa berada dalam keadaan ceria. Pemantauan sepanjang masa dilakukan oleh guru-guru yang terlibat dengan kelas berkenaan. Segera ambil tindakan sewajarnya jika didapati keceriaan kelas tidak memuaskan.

Proses mendisiplinkan murid dalam bilik darjah memerlukan usaha bersama dengan guru-guru lain. Ia tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak kerana guru kelas tidak berada dalam kelas sepanjang masa. Oleh itu sama-samalah kita berganding bahu mencapai matlamat untuk membentuk murid-murid yang produktif.

4.5 Membentuk Pengajaran Bestari

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah merupakan tugas utama atau ‘core-business’ dalam profesion perguruan. Tidak ada makna segala tindakan untuk menjadikan iklim dan budaya sekolah serta bilik darjah yang kondusif sekiranya tugas perguruan sebenar diabaikan. Oleh yang demikian, seseorang guru mesti melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran sebaik mungkin dan bertepatan dengan objektif Falsafah Pendidikan Negara. Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama, iaitu untuk mengajar, mendidik dan merubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan yang tidak mengenal huruf, tidak tahu memngira dan tidak boleh membaca kepada celif huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berjaya ( Shuib & Johari, 2001 ).
Saya boleh menjadikan pengajaran lebih berkesan dengan menggunakan bahan audio, video, perisian multimedia dan diikuti dengan penggunaan bahan cetak seperti dalam aktiviti perbincangan dengan rakan sebaya. Pengajaran pembelajaran boleh diteruskan lagi dengan menggunakan bahan daripada internet untuk mendedahkan maklumat yang terkini. Pada akhir pengajarannya pula, murid boleh digalakkan membuat persembahan hasil pembelajaran melalui komputer dan disebarkan kepada rakan sebayannya melalui ‘classnet’. Murid boleh berbincang dan berinteraksi antara satu sama lain dengan menggunakan komputer masing-masing melalui ‘classnet’ dalam bilik darjah bestari itu. Semua perancangan pengajaran dan pembelajaran saya akan tercapai dengan dibantu oleh suasana bilik darjah kondusif seperti yang dihuraikan sebelum ini.

Crow & Crow ( 1983 ), melihat pembelajaran ialah satu proses yang cergas dan perlu dirangsang serta dibimbing ke arah matlamat yang diingini. Rangsangan luaran yang mendorong pembelajaran termasuklah pengaruh guru melalui tugasan yang dibuat, soalan yang ditanya, alat bantuan mengajar yang digunakan dan semua prosedur yang digunakan untuk membangkitkan minat dan kegiatan belajar.

Saya melihat pandangan Crow & Crow ini dari perspektif kaedah pengajaran dan pembelajaran guru yang perlu aplikasikan bagi merangsang pembelajaran murid dan mempelbagaikan pengalaman murid. Sesuai dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini, maka wajar para guru memengeksploitasi teknologi terkini dalam bilik darjah.

5.0 KESIMPULAN

Sebagai rumusan, dapat dikatakan bahawa proses mewujudkan iklim dan budaya sekolah merupakan elemen penting dalam pembinaan bilik darjah yang kondusif. Kedua-dua item ini saling melengkapi dan memberi impak yang besar terhadap kualiti pembelajaran murid. Iklim dan budaya yang menarik akan melahirkan suasana yang tenang dan harmoni di kalangan ahli yang berada di dalamnya. Para guru dapat menjalankan tugasnya dengan baik manakala murid pula sentiasa berada dalam suasana belajar walau di mana mereka pergi dalam kawasan sekolah. Pembinaan hubungan mesra samada guru dengan guru atau guru dengan murid juga merupakan intipati dalam pembentukan iklim dan budaya positif di sesebuah sekolah. Watkins, C. & Wegner, P. ( 2000 ), menegaskan bahawa kolaborasi dalam kalangan guru juga dikaitkan dengan hubungan positif dalam kalangan murid.

Sekolah juga perlu mengambil berat tentang prasarana yang diperlukan bagi murid-muridnya. Hal ini bukan sahaja merujuk kepada kecantikan taman atau kolah air terjun. Pengambilan murid yang ramai menyebabkan bilik darjah menjadi sesak mengakibatkan keadaan menjadi panas, pencahayaan yang tidak mencukupi, kebisingan bilik darjah menjadikan murid gelisah, kemudahan asas seperti tandas tidak sempurna, kantin yang kecil, kerusi meja tidak mencukupi, dan sebagainya.

Fenomena ini merupakan kekangan utama yang akan membantutkan proses pembinaan iklim dan budaya sekolah serta gagal menghasilkan yang benar-benar boleh dikategorikan sebagai kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.

1 comment: